Anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kedai di Jalan Sentul, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai pusat panggilan judi dalam talian, hari ini. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


LIMA individu termasuk seorang penganjur aktiviti perjudian dalam talian ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Dadu di Jalan Sentul dan Kepong, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Sentul pada 4.30 petang selepas terima maklumat dan risikan yang dijalankan mendapatinya dijadikan sebagai pusat panggilan judi dalam talian.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki tempatan, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 32 tahun yang dipercayai bekerja sebagai operator di pusat panggilan berkenaan.

“Hasil penahanan mereka itu, kami berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai penganjur kegiatan itu di sebuah pasar raya di Kepong pada 7.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan kegiatan itu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan sebuah syarikat perjudian.

“Sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan itu dengan mensasarkan pelanggan yang terdiri dalam kalangan orang tempatan sejak April lalu serta dikatakan mampu mengaut keuntungan mencecah RM100,000 sebulan.

“Modus operandi mereka adalah dengan menghantar SMS secara rawak dan pelanggan kemudiannya diarahkan untuk memuat turun aplikasi perjudian terbabit, namun perlu melayari laman web secara dalam talian untuk berjudi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga komputer, tujuh telefon bimbit dan satu modem dalam serbuan itu.

“Kami percaya mereka ini daripada sindiket yang sama diserbu polis di Damansara, Petaling Jaya pada minggu lalu.

“Semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:55 PM