POLIS menjalankan siasatan di lokasi kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 29, Jalan Johor Bahru-Pontian. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Sabran Md Sani


DUA maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer KM29, Jalan Johor Bahru-Pontian, Iskandar Puteri, hari ini.

Kejadian jam kira-kira jam 7 pagi mengakibatkan M Vinod Prasath, 25; dan adiknya, M Prabu, 20, yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kaki.

Turut cedera pemandu kereta jenis Nissan Almera yang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat cedera di muka, dada dan tangan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan maut membabit dua kenderaan pada jam 7.57 pagi.

“Dalam laporan diterima, terdapat kemalangan maut membabitkan dua kenderaan dan dua kematian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah Kangkar Pulai menghala ke Ulu Choh memotong di garisan berkembar.

“Namun gagal lalu bertembung kereta dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng tercampak di tengah jalan serta mengalami kecederaan parah.

“Kedua-duanya beradik disahkan maut di lokasi manakala pemandu lelaki yang turut mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

“Keadaan jalan ketika kejadian adalah kering, bertar dan cuaca adalah baik,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 10:59 PM