PANNIR Selvan (dua dari kiri) menunjukkan rampasan rokok seludup di perairan Kuala Rompin, Jumaat lalu. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
PANNIR Selvan (dua dari kiri) menunjukkan rampasan rokok seludup di perairan Kuala Rompin, Jumaat lalu. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


GERAK-GERI dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan gelap di tepi Pantai Baru 7, Kuala Rompin, Rompin membongkarkan kegiatan mereka melakukan aktiviti menyeludup rokok.

Kegiatan mereka itu bagaimanapun berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam serbuan dilakukan pada jam 11.30 malam pada Jumaat lalu dan berjaya merampas 2,000 karton rokok seludup bernilai RM300,000.

Timbalan Pengarah Maritim Pahang (Operasi), Kepten Maritim V Pannir Selvan berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama enam bulan.

Katanya, empat anggotanya yang sedang menjalankan rondaan rutin di perairan Kuala Rompin terlihat sebuah bot fiber serta lori seberat satu tan berada di tepi pantai berkenaan dalam keadaan gelap.

“Anggota kami cuba mendekati mereka dan sebaik memperkenalkan diri, dua lelaki yang menaiki bot fiber berkenaan terus memecut laju bot mereka ke tengah laut.

“Kami mengejar mereka sejauh 10 batu nautika namun keadaan cuaca yang gelap dan laut bergelora ketika itu menyebabkan dua suspek berkenaan berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Pahang, di sini, semalam.

Katanya, anggota Maritim Malaysia kemudiannya berpatah balik ke tepi pantai berkenaan dan mendapati lori berkenaan sudah tiada.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan kemudiannya menjumpai 2,000 karton rokok jenama Force 10 dan Double 7 yang ditinggalkan penyeludup.

“Ketika diserbu, dua lelaki berkenaan sedang memunggah rokok berkenaan untuk dimasukkan ke dalam lori dan kita kita percaya rokok itu adalah untuk pasaran Pantai Timur dan selatan.

“Kawasan Pantai Batu 7 ini antara ‘port’ yang sering menjadi tumpuan anggota sindiket penyeludupan rokok untuk memunggah dan memindah rokok seludup,” katanya.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati rokok berkenaan dibawa dari Kemboja namun pihaknya masih lagi melakukan siasatan lanjut mengenalpasti suspek berkenaan dan modus operandi mereka.

“Rampasan ini adalah yang pertama buat Maritim Malaysia Pahang tahun ini dan kita akan terus menjalankan operasi dan rondaan dari semasa ke semasa bagi mengekang jenayah penyeludupan rokok di negeri ini.

“Kami juga amat memerlukan kerjasama dari orang awam untuk melaporkan sebarang kegiatan penyeludupan atau aktiviti jenayah di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345,” katanya.

Dalam pada itu, V Pannir Selvam berkata, dari tempoh Januari sehingga Jun lalu pihaknya sudah melakukan pemeriksaan terhadap 565 bot nelayan dan melakukan 46 tangkapan membabitkan 40 bot nelayan Vietnam, tiga bot nelayan tempatan manakala bakinya adalah lain-lain negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 6:30 AM