Antara yang ditahan dalam operasi di sekitar Keningau. FOTO Ihsan AADK.
Norasikin Daineh


DUA beranak dipercayai lalok selepas melepas gian bersama ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau dalam operasi di sekitar Keningau semalam.

Dalam operasi 3 petang itu, dua beranak masing-masing berusia 29 dan 59 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor selepas didapati positif dadah.

Ketua Operasi AADK Keningau, Azry [email protected] berkata, operasi itu disertai enam penguat kuasa AADK.

“Ketika operasi, dua beranak itu berada dalam sebuah bilik dan dipercayai baru selesai menghisap syabu bersama.

“Hasil pemeriksaan mendapati, anak lelaki suspek bakal berhadapan dengan hukuman yang membabitkan tiga tahun penjara dan sebatan kerana positif semula dadah ketika dalam tempoh pengawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tangkapan lain membabitkan dua lelaki yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan gagal ujian saringan.

“Semua tangkapan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat awam serta hasil risikan AADK seminggu di semua lokasi sasaran,” katanya.

Azry berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 3:01 PM