Beberapa pelajar dipercayai mengalami simptom pening dan loya pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


BACAAN kualiti udara di Pasir Gudang sifar sekali gus menunjukkan tiada kehadiran gas berbahaya dikesan walaupun masih ada murid dan pelajar mendakwa mengalami simptom muntah dan sesak nafas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, hasil bacaan kualiti udara yang diambil menggunakan alat pengesan gas di sekolah semalam dan hari ini, majoritinya menunjukkan angka sifar.

“Zero (sambil menunjukkan isyarat tangan sifar) Majoriti sifar.

“Ada sekolah itu, bacaan sifar tetapi ada seorang dua yang dilaporkan alami simptom.

“Tidak mengapa, kita ada langkah pertama, kedua, ketiga dan kita akan umum hasil pemantauan esok dan seterusnya,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Beliau berkata, sehingga 11 pagi tadi, terdapat 11 kes dilaporkan membabitkan tujuh sekolah.

Bagaimanapun katanya, semua yang terjejas itu hanya dirujuk ke Klinik Kesihatan (KK) Pasir Gudang tanpa perlu dirujuk ke hospital.

“Murid serta pelajar yang dilaporkan mengalami simptom adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok, SK Tanjung Puteri Resort, SK Kong Kong Laut, Sekolah Tahfiz Bukit Dahlia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SK Taman Scientex dan SK Taman Cendana.

“Namun mereka hanya dirujuk ke KK Pasir Gudang tanpa perlu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan berkata, antara murid yang mengalami simptom itu adalah kes berulang.

“Ada juga kes berulang, hari ini dia kena (alami simptom), esok juga dia, kemudian dia juga,” katanya yang turut mengesahkan semua ujian sampel ke atas darah dan air kencing mereka yang terjejas negatif unsur berbahaya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:18 PM