Petugas OHTA membuat persiapan terakhir sempena musim haji di Kompleks Tabung Haji KLIA, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohamad Hussin


PERSIAPAN akhir bagi menyambut ketibaan bakal jemaah yang mengerjakan musim haji 1440 Hijrah/2019 sudah siap sepenuhnya di Kompleks Tabung Haji (TH) KLIA, Sepang hari ini.

Tinjauan mendapati sistem kawalan keselamatan dan teknologi maklumat (IT) juga sudah diuji buat kali terakhir.

Pengarah Operasi Stesen Sepang, Khairoddin Ahmad berkata, 838 petugas Operasi Haji Tanah Air (OHTA) akan membantu melancarkan proses berkenaan.

Beliau berkata, penerbangan pertama KT 01 membabitkan 483 jemaah haji dijadual berlepas dari KLIA ke Madinah pada 1.30 pagi esok.

“Penerbangan kedua KT 02 membabitkan 483 jemaah haji akan berlepas dari KLIA ke Madinah 10.30 pagi esok.

“Semua persiapan di kompleks ini sudah 100 peratus siap cuma menunggu ketibaan jemaah haji.

“Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menempatkan enam mesin pengimbas iaitu dua mesin untuk bagasi manakala empat mesin untuk badan dan beg kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan kali terakhir di Kompleks TH hari ini.

Khairoddin berkata, OHTA membabitkan petugas TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Penerbangan Malaysia (MAS), Kementerian Kesihatan serta pelbagai agensi lain.

“Semua bakal haji perlu berada di stesen berlepas selewat-lewatnya empat jam sebelum masa lapor diri.

“Terdapat lapan stesen iaitu KLIA, lapangan terbang Alor Setar, Pulau Pinang, Senai, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Mereka dinasihatkan membawa buku rekod rawatan kesihatan dan surat jadual penerbangan haji ketika melapor diri.

“Bagi bakal haji yang berlepas dari stesen yang ditetapkan dan penerbangan terus ke Jeddah, dinasihatkan memakai ihram,” katanya.

Katanya, Stesen Operasi Sepang turut menyediakan kemudahan kaunter TH, Bank Islam, bayaran dam, qurban dan perkhidmatan guru agama (PEKTA).

Sebarang pertanyaan, bakal jemaah dan waris boleh menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:59 PM