VIDEO memaparkan Nur Hazme melakukan aksi bermain basikal BMX yang viral di media sosial. FOTO viral media sosial
Hidayatul Akmal Ahmad


“MULANYA, rakan yang memuat naik video berkenaan di grup Whatsapp balai untuk suka-suka sahaja, tidak sangka pula ia menjadi viral,” kata pegawai Bomba dan Penyelamat, Nur Hazme Janis, 32.

Nur Hazme berkata, video dirinya menunggang basikal BMX berdurasi 30 saat menunjukkan aksi ekstrem, BMX Flatland itu diambil ketika di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul di Kuala Lumpur.

“Saya memang minat dengan sukan itu sejak di bangku sekolah lagi. Meskipun sudah memasuki alam pekerjaan dan bertugas sebagai anggota bomba, minat itu masih tebal.

“Saya banyak menyertai pertandingan (sukan ekstrem kategori basikal BMX) ‘underdog’ sahaja sebelum ini. Di Peringkat antarabangsa pula, kejayaan peribadi saya apabila mewakili Malaysia ke peringkat akhir pertandingan Asian Beach Game di Phuket, Thailand, lima tahun lalu.

“Saya juga mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan ekstrem di Indonesia dan memenangi tempat kedua pada 2017,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Menurut anak muda yang berasal dari Taman Daya, Johor Baharu itu, dia banyak mempelajari teknik sukan berkenaan melalui YouTube, selain berguru Ahmad Saiful Aziz atau lebih dikenali sebagai Mat Dagu, yang dianggap legenda dalam permainan sukan ekstrem BMX.

“Saya banyak berguru dengan Mat Dagu, selain juga menonton YouTube, kadang-kadang memang penat tapi minat mengatasi segalanya.

“Lazimnya selepas pulang kerja, saya akan berlatih di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara bersama rakan selama tiga hingga empat jam,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Hazme berkata, meskipun minat terhadap hobi ‘mahal’ dia tidak pernah merasa rugi kerana berbaloi dengan apa yang dibelanjakan.

“Benarlah orang kata, kalau sudah minat wang bukan halangan. Saya sendiri berbelanja sehingga RM7,000 hingga RM8,000 demi sebuah basikal ‘custome setup’ (ubah suai),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 9:43 PM