ANTHONY Loke (tengah) bersama Datuk Baharin Abdul Hamid (kiri) beramah mesra bersama penerima cenderahati Perintis Pelaut Wanita 2019, Fatin Amirah Ghazali (dua, kiri) dan Liew Tat Chee (dua, kanan) selepas merasmikan sambutan Hari Pelaut 2019 yang bertemakan "I Am On Board With Gender Equality" di Institut Latihan Pengangkutan Laut, Pulau Indah, semalam. FOTO Bernama
Siraj Mohd Zaini


BIARPUN sinonim dengan lelaki, namun ia bukan penghalang kepada golongan wanita turut sama bergelar pelaut dan menyahut cabaran bekerja di lautan.

Bagi Fatin Amirah Ghazali, 30, kerjaya pilihannya sejak 2011 itu sememangnya mencabar kerana didominasi oleh lelaki selain turut kelihatan janggal jika ada wanita yang sanggup memilih pekerjaan berkenaan.

Katanya, sebagai pelaut selain perlu mempunyai minat mendalam seseorang wanita itu perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal ketika berlayar.

“Saya tertarik dengan iklan sebuah syarikat perkapalan yang menawarkan biasiswa penuh bagi mempelajari bidang ini selain kerjaya mengelilingi dunia,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pelaut 2019 di Institut Latihan Pengangkutan Laut di sini, semalam.

Fatin Amirah turut dinobatkan sebagai Perintis Pelaut Wanita 2019 bersama dua lagi rakannya, Liew Tat Chee, 29, dan Eezamaira Sazzea Shahruzamman, 30, pada majlis itu.

Sementara itu, Liew berkata, personalitinya yang gemarkan aktiviti mencabar menjadi titik-tolak untuk menyertai kerjaya berkenaan.

Katanya, dia tiada masalah untuk bekerja di atas kapal berikutan rakan sekerja lelaki juga tahu batas dalam hubungan kerja.

“Saya bersyukur sebagai rakyat Malaysia, kebanyakan kita ada pegangan agama dan disebabkan itu kebanyakan rakan sekerja lelaki menghormati wanita dan dengan pegangan agama itu rakan sekerja lelaki tahu batasan dan apa yang patut atau tidak patut dibuat.

FATIN Amirah Ghazali. FOTO Roslin Mat Tahir

“Saya tidak ada masalah berada di atas kapal dan syarikat kami (MISC) juga sangat menjaga kakitangan perempuan selain mempunyai pelbagai dasar pencegahan gangguan seksual. Selain itu, Persatuan Wanita dalam maritim menjaga pelaut wanita,” katanya.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Melaka berkata, sebagai ketua pegawai, jawatannya membantu kapten kapal dalam operasi di geladak, kargo serta bahagian katering, namun pernah juga terbabit dengan navigasi sebelum ini.

Ketika majlis penghargaan itu, Eezamaira tidak hadir kerana dalam pelayaran ke China dan diwakili bapanya, Shahruzamman Abdul Rahman, 62.

Shahruzamman berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menerima banyak tawaran daripada universiti, namun memilih untuk mencuba nasib dan memohon tempat di Akademi Laut Malaysia (ALAM).

“Dia pergi menduduki ujian dan lulus. Apabila lulus, saya bertanya jika dia mahu menyertai ALAM. Selepas berfikir, dia tetap memilih kerjaya ini.

“Sebagai ibu bapa, saya dan isteri sentiasa memberi semangat dan mendorongnya selain menasihati supaya hatinya tidak lemah. Namun, anak saya sememangnya kuat dan keras hati serta dapat menerima cabaran kerjanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:30 AM