Mohd Sabran Md Sani


PEMANDU lori didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini kerana membawa lima lembu ke kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor, April lalu.

Majistret Rashidah Bahrom menjatuhkan hukuman itu selepas orang kena saman (OKS) Mohd Jamil Anuar, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah pada 9.20 pagi.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Jamil didakwa membawa lima lembu hidup menggunakan lori ke kawasan diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah JPV Negeri Johor.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kilometer J10, Jalan Kong Kong-Pasir Gudang, 12.45 tengah hari, 11 April lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa dengan pertuduhan mengikut Peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Johor 2005 (JPU).

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452).

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Johor Mohd Faiz Ajis.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga.

“Saya bekerja sebagai pemandu lori kepada pemilik lembu dan memperoleh pendapatan RM1,400 sebulan, selain mempunyai tanggungan keluarga.

"Mohon denda dikurangkan dan saya akan membayar denda itu menggunakan wang sendiri," katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman berat mengambil kira jumlah lembu dibawa dan status kesihatan haiwan itu ketika ditahan diragui.

Katanya, negeri Johor adalah kawasan bebas penyakit kuku dan mulut dan mahkamah perlu mengambil kira demi kepentingan awam.

"Impak penyakit ini memberi kesan kepada penurunan pengeluaran susu, bahkan kos memberi vaksin juga tinggi.

"Kenyataan dikeluarkan Pengarah JPV menerusi keratan akhbar menyatakan Johor antara tiga negeri tertinggi membabitkan penularan penyakit itu, bahkan berada pada kedudukan kedua," katanya.

Katanya, penyakit itu bukan saja boleh disebarkan kepada spesies lembu tetapi babi dan kambing.

"Bahkan ia akan merebak dari satu kandang ke satu kandang dan akhirnya impak ke seluruh negeri Johor," katanya.

Rashidah yang mendengar rayuan tertuduh dan pemberatan hukuman pihak pendakwaan bagaimanapun menjatuhkan denda RM9,000.

Keputusan itu dibuat mengambil kira hukuman terkandung bagi kesalahan itu, keratan akhbar dikemukakan dan kes pernah diputuskan di mahkamah sebelum ini.

PEMANDU lori Mohd Jamil Anuar, 32, (kanan) didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan membawa lima ekor lembu ke kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor, pada April lalu. FOTO Zain Ahmed
PEMANDU lori Mohd Jamil Anuar, 32, (kanan) didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan membawa lima ekor lembu ke kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor, pada April lalu. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:03 AM
Digital NSTP Subscribe