PASANGAN terbabit ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Iqmal Haqim Rosman


SUAMI isteri yang juga pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Seremban, hari ini, atas empat pertuduhan membabitkan penyelewengan wang tempahan pembelian kenderaan daripada pelanggan, sejak hujung tahun lalu.

Tertuduh, Shah Riman Rajah Abdullah, 57, dan Norul Hanum Mohamed Hussain Albari, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat berkenaan dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM500 milik seorang lelaki berusia 32 tahun di Rahang Square, Seremban, kira-kira 3 petang, 11 Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM500 milik seorang lelaki berusia 22 tahun, kira-kira 9 malam, 27 Februari lalu di Senawang.

Bagi pertuduhan ketiga, sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM1,500 milik seorang lelaki di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira 12.30 tengah hari, 22 Februari lalu.

Sementara itu, pertuduhan keempat, sebagai pengarah syarikat dengan curangnya menggunakan harta, iaitu wang berjumlah RM5,000 milik seorang lelaki di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira 3.30 petang 8 Mei lalu.

Tertuduh masing-masing melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan denda, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri menawarkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan terhadap pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam K Vijayasundra Thevar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menanggung anak yang masih kecil selain Shah Riman menghidap sakit jantung dan diabetes.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM11,000 seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis terdekat.

Sebutan kes seterusnya adalah pada 15 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:57 PM