Mohd Husni Mohd Noor


“ADA berita baik...Insya-Allah,” itu kata-kata ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika ditanya berhubung kuota tambahan haji dipohon Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi.

Beliau memberi bayangan ada berita baik akan diumumkan dalam tempoh terdekat berhubung rayuan tambahan kuota sebanyak 10,000 itu.

Mujahid berkata, hasil rundingan berhubung kuota tambahan itu dilihat positif biarpun sedar ia hak akan diputuskan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, selepas berunding saya dengar di hujung telinga berita baiklah. Berita baik, doakanlah. Tapi ada berita baik...Insya-Allah. Kita akan maklum bila dah rasmi (sahih).

“Saya tidak akan kecewakan bakal jemaah haji. Saya akan buat yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pelepasan kumpulan kedua (KT02) membabitkan 483 jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Mujahid berkata, jika kuota tambahan itu diluluskan, pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dari sudut teknikal termasuk senarai nama dan persiapan.

Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon kuota tambahan haji sebanyak 10,000 kuota musim haji tahun ini.

MUJAHID (kiri) melihat jemaah, Ahmad Zaini Abdul Rahman melalui sistem biometrik Jabatan Imigresen ketika meninjau proses pelepasan jemaah haji di KLIA, Sepang, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MUJAHID (kiri) melihat jemaah, Ahmad Zaini Abdul Rahman melalui sistem biometrik Jabatan Imigresen ketika meninjau proses pelepasan jemaah haji di KLIA, Sepang, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat dilaporkan berkata, sekiranya gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah lain.

Pada 4 Mei lalu, Mujahid dilaporkan berkata, kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai tarikh tepat untuk memberikan jawapannya berhubung kuota tambahan bagi jemaah pada musim haji tahun ini.

Pada tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji membabitkan 81 penerbangan sewa khas menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas dengan penerbangan terakhir pada 4 Ogos.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:56 PM