TENGKU Adnan (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah. FOTO Supian Ahmad
TENGKU Adnan (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah. FOTO Supian Ahmad
Nor Azura Abdul Jalil


“ARAHAN daripada menteri (Wilayah Persekutuan) adalah keutamaan diikuti arahan timbalan menteri, datuk bandar serta pegawai kanan DBKL,” katanya bekas Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ab Salim Mansor, 61.

Saksi kesembilan pendakwaan perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi keterangan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ab Salim ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri, bagaimana kelulusan dan tawaran daripada pemaju dilakukan, beliau menjelaskan ia dibuat dengan kelulusan menteri, merujuk kepada Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Terdahulu, Ab Salim berkata, setiap surat permohonan dan rayuan daripada pihak pemaju akan disemak dan dibincang semula bersama Datuk Bandar.

Beliau berkata, lazimnya apabila beliau menerima surat yang diminta oleh Datuk Bandar, beliau akan berbincang dengannya mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pihak jabatan untuk proses berkenaan.

“Selalunya jabatan akan keluarkan surat keputusan untuk diserah kepada pemohon yang membuat rayuan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong.

Wang itu diterima melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

Tengku Adnan mempunyai kepentingan dalam Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam penyata saksi, Ab Salim memberitahu bahawa Tengku Adnan meluluskan dan bersetuju menawarkan penjualan tanah milik Datuk Bandar iaitu dua lot seluas 6381.675 hekar (16,386 meter persegi) kepada Aset Kayamas Sdn Bhd.

Ab Salim yang memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL ketika itu, berkata kelulusan itu dibuat melalui surat bertarikh 27 Mei 2015.

Ab Salim, yang kini sudah bersara turut mengesahkan pihak Aset Kayamas juga berhasrat untuk membina satu blok pangsapuri mampu milik (427 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk dalam fasa pertama pembinaan.

Katanya, dalam fasa kedua pula, syarikat itu bercadang untuk membina satu blok pangsapuri (632 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk manakala fasa ketiga, syarikat Aset Kayamas akan membina asrama Pusat Latihan untuk DBKL.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zaini Mazlan bersambung Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:30 PM