(GAMBAR fail NSTP) Skuad Badar membawa individu yang ditahan berkhalwat ke kawasan tanah perkuburan Islam di Sungai Petani untuk sesi ‘tarbiyah’. FOTO NSTP
(GAMBAR fail NSTP) Skuad Badar membawa individu yang ditahan berkhalwat ke kawasan tanah perkuburan Islam di Sungai Petani untuk sesi ‘tarbiyah’. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


KUMPULAN Skuad Badar dinasihatkan tidak bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan undang-undang negara susulan cubaan mereka ingin aktif semula.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan terbabit bukan badan penguat kuasa agama yang sah dan tidak mempunyai kuasa menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.

“Mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad yang memberitahu mereka bakal diaktifkan semula dan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.

Semalam Azhar mengeluarkan kenyataan untuk mengaktifkan semula aktiviti mereka sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam yang disifatkan semakin membimbangkan di negara ini.

Kemunculan mereka dengan nama ‘Skuad Badar al-Qubra’ dijangka pada penghujung Julai ini dengan memberi tumpuan lebih aktif demi membanteras kegiatan maksiat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 9:14 PM