Operasi pelacuran warga asing di Puchong malam tadi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Operasi pelacuran warga asing di Puchong malam tadi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Muhaamad Hafis Nawawi


MENYEDARI taktiknya berpura-pura pengsan tidak menjadi menyebabkan wanita warga Vietnam meraung beberapa minit selepas gagal melarikan diri dalam Ops Gegar di sebuah bar di Jalan Puchong Mesra malam tadi.

Dia antara 14 wanita warga Vietnam bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan bersama pekerja lelaki tempatan berusia 23 hingga 35 tahun dalam operasi bermula 12.45 tengah malam tadi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Bagaimanapun taktiknya yang meraih simpati dengan meraung selepas ditahan tidak berhasil apabila semakan mendapati dia melakukan kesalahan imigresen.

Malah rakannya yang lain sempat masuk ke kereta dalam cubaan melarikan diri namun dihalang anggota JIM sebelum menahan mereka.

Operasi diketuai Penolong Pengarah JIM WPKL, Mohd Sharulnizam Ismail itu membabitkan 60 pegawai dan anggota imigresen.

Pengarah JIM WPKL, Hamidi Adam berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 15 orang termasuk pekerja lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, wanita terbabit turut cuba melarikan diri mengguna pintu belakang namun gagal.

“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56 (1) (d)dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 12:42 PM