TAKTIK dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mahu keluar dari kawasan persembunyian dengan menggunakan teksi gagal selepas dicekup pihak berkuasa di Jalan Besar Tumbok Pantai, Tanjong Sepat. FOTO Ihsan PDRM
TAKTIK dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mahu keluar dari kawasan persembunyian dengan menggunakan teksi gagal selepas dicekup pihak berkuasa di Jalan Besar Tumbok Pantai, Tanjong Sepat. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini


TAKTIK sepasang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mahu keluar dari kawasan persembunyian dengan menggunakan teksi, gagal selepas dicekup pihak berkuasa di Jalan Besar Tumbok Pantai, Tanjong Sepat, kelmarin.

Kedua-dua mereka serta pemandu teksi warga tempatan berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang hasil risikan polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, anggota PGA mengesan teksi dalam keadaan mencurigakan di kawasan berdekatan belukar di jalan terbabit.

Menurutnya, teksi jenis Proton Waja itu didapati berhenti di bahu jalan dalam masa agak lama sebelum dinaiki dua PATI berkenaan.

“Anggota dan pegawai PGA kemudiannya menahan teksi itu sebelum membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasilnya didapati kedua-dua penumpang teksi itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, soal siasat mendapati dua PATI terbabit baru tiba di negara ini menggunakan laluan tidak diwartakan sehari sebelum dicekup pihak berkuasa.

Katanya, semua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

“Teksi terbabit juga dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 2:31 PM