Abdul Rahemang Taiming


TINDAKAN nekad seorang lelaki menghadiri temu duga jawatan Konstabel Polis Siri 2/2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau petang, semalam, membawa padah apabila dia ditahan kerana didapati positif dadah.

Suspek yang berumur 21 itu antara 114 calon yang hadir menghadiri temu duga itu bagaimanapun disahkan positif dadah jenis ganja selepas melalui ujian saringan air kencing.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, lelaki itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah dan Rawatan 1983.

“Ini adalah kes pertama membabitkan calon pengambilan jawatan konstabel di Sabah didapati positif ganja. Mana-mana calon atau individu yang mahu menghadiri temu duga apa juga perjawatan dalam polis, perlu bebas daripada dadah.

“Ini kerana mereka tidak akan terlepas daripada menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan semua calon bersih daripada penyalahgunaan dadah selain perlu melalui beberapa tapisan dan ujian termasuk ujian kecergasan serta fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pembaharuan lesen senjata api bagi pemegang lesen senjata api awam tahun 2019 / 2020 di IPD Tawau, di Tawau, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 2:58 PM