Mohd Nasir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sazali. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“SAYA dan suami hilang punca pendapatan serentak sejak empat tahun lalu selepas suami disahkan menghidap penyakit buah pinggang manakala saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya sepenuh masa,” kata suri rumah, Raidah Atan, 52.

Raidah yang tinggal di Taman Teratai, Johor Bahru berkata, suaminya, Sazali Atan, 53, terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu bas persiaran akibat sakit buah pinggang dan dia berhenti kerja sebagai pekerja pembersihan untuk menjaga suaminya itu di rumah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan keluarganya hilang punca pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Katanya, suaminya bernasib baik kerana kos rawatan dialisis buah pinggang ditanggung Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Bandar Baru Uda.

“Kami bersyukur dibantu anak pertama dan kedua namun mereka berdua hanya bekerja biasa dan memerlukan wang untuk perbelanjaan sendiri, berikutan itu kami sentiasa berjimat dalam perbelanjaan rumah.

“Anak ketiga baharu menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) manakala anak bongsu masih di tingkatan lima,” katanya ketika menerima kunjungan Wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak semalam.

Raidah berkata, bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantunya menampung kos perjalanan dari rumah ke pusat dialisis kira-kira 20 kilometer.

“Tiga kali seminggu, suami perlu menjalani rawatan dialisis dan selepas kaki kanannya dipotong hingga paras lutut akibat jangkitan kuman tiga bulan lalu, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan keluarga untuk bergerak.

“Kami sentiasa memberikan semangat kepadanya supaya dia kuat berdepan dugaan Allah SWT dan sebagai teman hidup, saya berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Raidah berkata, buat masa ini suaminya masih bergantung beberapa jenis ubat dan ada yang diperolehi di klinik kesihatan manakala sesetengah ubat perlu dibeli sendiri.

Berikutan itu katanya, mereka terpaksa berjimat dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini diraikan secara sederhana.

“Saya bersyukur anak-anak termasuk tiga yang tinggal bersama saya manakala anak kedua yang sudah berkahwin tinggal berasingan memahami situasi keluarga dan sentiasa faham serta menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban ditanggung keluarga itu.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Sazali di nombor 0112741000045044.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 3:53 PM