MUHAMMAD AIMAN HAKIM. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS masih meneruskan siasatan terhadap kematian Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Raub, biarpun kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, biarpun belum menemui sebarang petunjuk baru, pihaknya tetap menjalankan siasatan sehingga tiada unsur jenayah ditemui.

“Polis memerlukan masa untuk menutup sesuatu kes, atau sehingga polis berpuas hati tiada unsur jenayah dan seperti kes ini, biarpun diklasifikasi sebagai SDR, siasatan tetap berjalan.

“Cuma polis belum mendapat petunjuk baru bagi mengaitkan kejadian ini sebagai kes jenayah atau sebaliknya. Polis tetap menjalankan kerja seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan Jabatan Kimia mendapati rangka yang ditemui di dalam tangki air di Felda Palong 12 pada 25 Mac lalu disahkan sebagai Muhammad Aiman Hakim.

Media sebelum ini melaporkan, pada 25 Mac lalu, rangka manusia ditemukan terapung dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di Felda Palong 12 di Jempol, jam 11.30 pagi.

Muhammad Aiman Hakim dilaporkan hilang pada 9 Julai tahun lalu selepas keluar dari rumah di Jalan Keratong Indah 16, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dengan menunggang motosikal Modenas MR1 bernombor pendaftaran JRT 916 berseorangan.

Berita berkaitan

Sah rangka Muhammad Aiman

Semoga roh adik dicucuri rahmat

'Jika betul dia, semoga rohnya tenteram'

Polis jumpa motosikal Muhammad Aiman

Harus jika terminum 'air mayat' - Mufti

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 4:06 PM