ANGGOTA polis pengawal pengiring ditahan bagi membantu siasatan penemuan pelbagai jenis dadah di kawasan lokap Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) bersama anggota lokap polis Mahkamah Johor Bahru menahan seorang anggota berpangkat Lans Koperal yang juga polis pengawal pengiring IPD Seri Alam berusia 42 tahun di dalam kawasan lokap mahkamah Johor Bahru.

“Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan berikutan penemuan pelbagai jenis dadah termasuk dadah disyaki syabu seberat 148.96 gram, ganja (391.60 gram), heroin (184.85 gram) dan pil Erimin 5 (25.68gram atau 128 biji) oleh anggota polis di kawasan lokap mahkamah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu dan hari ini, dia dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pada masa sama, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:19 PM
Digital NSTP Subscribe