MOHD Zawawi (kanan) menunjukkan rusuk Muhammad Norshafiq yang cedera akibat dipukul anggota penguat kuasa PBT dalam kejadian di Jalan Persiaran Tanjung, Johor Bahru, petang Isnin lalu. FOTO Zain Ahmed.
MOHD Zawawi (kanan) menunjukkan rusuk Muhammad Norshafiq yang cedera akibat dipukul anggota penguat kuasa PBT dalam kejadian di Jalan Persiaran Tanjung, Johor Bahru, petang Isnin lalu. FOTO Zain Ahmed.


SEORANG pekerja gerai menjual lemang di Jalan Persiaran Tanjung, Johor Bahru, cedera di tulang rusuk kiri, dahi dan belakang badan selepas dikatakan dipukul sepasukan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika mereka mahu merampas pelbagai barangan di gerai itu, Isnin lalu.

Mangsa, Muhammad Norshafiq Syazwan Shahrizan, 18, berkata akibat kejadian itu dia masih terasa sakit di seluruh badan setiap kali bangun tidur terutama di bahagian kiri tubuhnya, dipercayai kecederaan akibat dipukul dalam kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian 2.20 petang itu, sepasukan penguat kuasa datang ke gerai dan berbincang dengan majikan sebelum merampas pelbagai barangan perniagaan termasuk cuba merobohkan khemah.

“Pada mulanya kami merelakan mereka menjalankan tugas, namun tindakan mereka membaling pelbagai barangan ke dalam lori hingga merosakkan barang menyebabkan kami terkejut dan saya memeluk tiang khemah itu.

“Ketika itu, sekumpulan anggota mula menolak hingga terjatuh, saya akui hilang pertimbangan dan mengambil sebatang buluh lalu memukul palang khemah untuk melepaskan geram.

“Namun, saya diserbu sekumpulan anggota berkenaan lalu ditendang dan dipukul, diheret ke dalam van dan dipukul berulang kali hingga ke Balai Polis Tampoi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, selepas membuat laporan polis, dia mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, sebelum dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ibunya merayu untuk membawanya pulang kerana rumah mereka agak jauh dari HSA, namun sehingga kini masih sakit di bahagian kiri badan terutama ketika bangun tidur.

Sementara itu, majikannya, Mohd Zawawi Mohamad, 57, berkata dia sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak 11 tahun lalu bermula sebelum Aidilfitri hingga sebulan selepas Hari Raya dan sentiasa mendapat lesen perniagaan daripada PBT berkenaan.

“Bagaimanapun, tahun ini permohonan mendapatkan lesen perniagaan sementara ditolak tanpa sebab dan disebabkan kesuntukan masa serta mempunyai ramai pelanggan, saya nekad membuka perniagaan di lokasi itu.

“Sebelum kejadian, gerai kami diserbu sebanyak tiga kali dan anggota penguat kuasa merampas sembilan khemah, meja (10), mesin memotong buluh (satu), mesin kimpalan (satu), tiga parang, tiga kereta sorong, pelbagai plastik serta bakul.

“Saya akui melakukan kesalahan dan hanya meminta diberikan kebenaran berniaga dalam tempoh tertentu, dalam tiga serbuan terdahulu kami hanya membantah namun tidak berlaku sebarang kekerasan kerana pegawai bertugas berbudi bahasa dan mengalihkan pelbagai barangan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, malangnya dalam kejadian terbaru itu anggota bertugas hanya memaklumkan mahu mengambil khemah, tetapi sebaliknya berlaku apabila mengambil pelbagai barangan lain.

Katanya, selain itu mereka mencampak barangan termasuk merentap lampu hingga rosak menyebabkan mereka cuba mempertahankan khemah yang masih ada.

“Selain dirampas sebanyak empat kali, saya tidak dibenarkan menebus semula semua barangan itu di stor PBT berkenaan sedangkan bayaran denda di stor (simpanan) dikenakan sebanyak RM12 sehari selain saman berniaga tanpa lesen.

“Bayangkan saya disaman dan paling teruk dikenakan caj RM12 sehari sedangkan saya datang ke stor untuk mengambil semula barang saya.

“Apabila ditanya, pegawai memaklumkan hanya boleh ditebus selepas tempoh tertentu kerana bimbang saya akan menggunakan barang sama untuk berniaga.

“Masalahnya, denda RM12 sehari tetap berjalan dan ia akan menambah beban saya. Adakah ini caranya PBT mencari lebihan hasil dengan memeras peniaga tepi jalan sedangkan banyak lagi perniagaan haram lain termasuk Ah Long, perjudian atas talian dan peniaga buah-buahan tanpa lesen di kawasan berhampiran,” katanya yang berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

“Ya, kami terima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Amran A Rahman berkata, operasi kebiasaannya dijalankan terhadap peniaga yang berniaga tanpa kebenaran dan lesen sah.

“Mungkin berlaku ketegangan dan salah faham ketika tindakan diambil. Mengenai dakwaan pekerja peniaga itu dipukul, kami akan menjalankan siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan mangsa sudah membuat laporan polis dan lebih baik beri ruang kepada polis untuk menyiasat dakwaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:23 PM
Kabinet Malaysia 2020