NORHIZAM (tengah) bersama Che Samudin (kanan) merasai durian sempena Melaka Durian Street 2019. FOTO IHSAN PEMBACA
Nur Saliawati Salberi


PIHAK berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta untuk memberi lesen sementara kepada peniaga durian bagi mengelak berlakunya lambakan raja buah berkenaan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya meminta PBT memberi kelonggaran kepada peniaga durian supaya tiada masalah lambakan berlaku.

Beliau berkata, PBT di negeri ini antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga untuk berniaga.

“Kita mohon PBT bagi kelonggaran kepada penjual untuk tempoh sebulan supaya mereka dapat menjualnya di lokasi tumpuan.

“Bagaimanapun, peniaga perlu mencari lokasi yang selamat dan sesuai supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Pelancaran Melaka Durian Street 2019 di Klebang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Che Samudin Hassan.

Beliau berkata, untuk program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu, FAMA mensasarkan jualan RM300,000 dengan 20 tan bekalan durian.

“Ini adalah program tahunan dalam usaha FAMA membantu petani memasarkan hasil mereka.

“Selain durian, turut dipasarkan pada program ini buah-buahan tempatan lain seperti manggis, rambutan, mangga delite dan cempedak selain harga ditawarkan juga berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:02 PM