Muhammad Apendy Issahak


SEORANG jurujual kereta didakwa dengan dua pertuduhan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan membabitkan penjualan sebuah kereta dan pemasangan cermin penghadang cahaya kenderaan hingga mengakibatkan kerugian RM49,000 pada Februari dan Mac tahun lalu.

Pertuduhan pertama, Chong U Gene, 45, didakwa menipu syarikat Team Keris Berhad dengan memperdaya membantu mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap kenderaan syarikat berkenaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 27 Februari 2018.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong syarikat terbabit memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaun banknya dan bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Chong didakwa mengambil wang hasil penjualan kereta Mercedes Benz SLK 2.3L milik syarikat pemaju perumahan sama pada 14 Februari 2018 dijual dengan harga RM40,000 kepada seorang wanita.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan kedua itu dan mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan serta minta dibicarakan yang jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar manakala terttuduh diwakili peguam Shassidaren Deva Sana Pathy dan Sukhwinder Singh Sidhu.

Nur Asmaniza mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tertuduh merayu agar diberi jaminan ringan kerana mempunyai tanggungan seorang anak serta bapa berusia 72 tahun serta ibu yang menghidap kanser.

Majistret Umzarul An-Nur kemudian membenarkan Chong dijamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai ini bagi sebutan semula kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:00 AM
CHONG didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh dengan dua pertuduhan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan membabitkan RM49,000. FOTO Muhaizan Yahya