FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SINDIKET penipuan parcel scam yang menyamar warga United Kingdom dengan menghantar hadiah sebagai persahabatan tumpas selepas polis menahan dua lelaki Nigeria dan wanita tempatan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, serbuan dilakukan jam 12.15 tengah malam susulan laporan dibuat jururawat wanita yang kerugian RM1,550, Isnin lalu, selepas terpedaya dengan sindiket berkenaan.

Katanya, mangsa berusia 22 tahun berkenalan dengan suspek yang menyamar warga United Kingdom dengan mendakwa dirinya seorang doktor dua minggu lalu melalui laman sosial Facebook (FB).

“Ketika perkenalan itu juga mereka berkongsi maklumat berkaitan kesihatan sebelum suspek memberitahu mahu menghantar barang sebagai tanda persahabatan.

“Mangsa kemudian menerima panggilan, Isnin lalu daripada wanita mendakwa dari syarikat perkhidmatan penghantaran dan terdapat barangan kiriman atas nama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Rajab berkata, wanita terbabit meminta mangsa memasukkan wang sebagai cas penghantaran dan tanpa mengesyaki apa-apa, dia memasukkan wang ke akaun bank ketika berada di Jalan Ampang, di sini.

“Bagaimanapun, pengadu mula berasa curiga dan menyemak semula FB suspek sebelum mendapati akaun itu sudah ditutup.

“Polis yang menerima maklumat kemudian menyerbu kondominium berkenaan dan menahan suspek bersama telefon bimbit, kad ATM, sekeping kad sim dan komputer riba,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai individu dikenali laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:44 AM