Perkampungan Orang Asli Suku Kaum Batek di Kampung Kuala Koh. FOTO Fathil Asri
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan tiada kes kematian baharu dilaporkan membabitkan wabak measles (demam campak) Orang Asli di Kelantan, Terengganu dan Pahang, setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak wabak itu dilaporkan pada 3 Jun lalu, kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak 173 kes iaitu 147 kes di Kelantan termasuk tiga kematian, Terengganu (18) dan Pahang (lapan).

Katanya, daripada jumlah itu hasil ujian makmal mengesahkan 82 kes measles iaitu 62 di Kelantan, Terengganu (16) dan Pahang (empat).

“Sehingga 5 Julai, tiada kes kematian dilaporkan dan kes kematian yang dilaporkan kekal tiga dan disahkan measles hasil ujian makmal dan bedah siasat yang dijalankan.

“Bagaimanapun, punca kematian 12 lagi mayat yang ditemui polis pada 2 Mei sehingga 6 Jun lalu di Kampung Kuala Koh di Gua Musang tidak dapat disahkan, manakala keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, di Kelantan sehingga semalam, seramai 48 Orang Asli masih menerima rawatan iaitu 46 di unit isolasi manakala dua lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, seramai 53 kes yang bergejala ringan ditempatkan di Kem Program Latihan Khidmat Negara Etnobotani, Gua Musang.

“Di Terengganu sehingga kini seramai lima kes masih dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu, manakala di Pahang tiada pesakit menerima rawatan di hospital.

“Semua pesakit yang menerima rawatan di hospital kini berada dalam keadaan stabil. Setakat ini, wabak ini disahkan terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:38 PM