MUHAMMAD Wafiyulhakim Othamannor, 23 (dari kiri) bersama adik-adiknya Muhammad Waizzulhakim, 22, Muhammad Waqiyuddin, 19 antara bakal jemaah termuda pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohamad Hussin


TIGA beradik lelaki antara 483 bakal jemaah haji termuda yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Muhammad Wafiyulhakim Othamannor, 23,

Muhammad Waizzulhakim, 22, dan Muhammad Waqiyuddin, 19, berasal dari Skudai, Johor Bahru.

Mereka berlepas menerusi penerbangan KT06 (XY5658) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, 2.30 petang tadi dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Kumpulan ini terdiri daripada 200 jemaah lelaki, 264 jemaah perempuan dan 19 petugas.

Menurut Muhammad Wafiyulhakim atau dipanggil Wafi berkata, dia bersama adiknya menerima tawaran mengerjakan fardu haji pada Februari lalu.

Katanya, ayah, Othamannor Muhammad Wahab, 52, dan ibunya, Siti Kamilah Kamar, 51, turut menerima tawaran Lembaga Tabung Haji (TH) ke Tanah Suci, namun menolak kerana menjaga adik bongsunya.

“Ayah dan mak ada dapat tawaran tetapi menolak kerana adik bongsu kami, Muhammad Waziffuddin, 16, belum cukup umur.

“Mereka tanya sama ada mahu pergi haji atau tidak tanpa orang tua, tetapi kami nekad dan berazam mahu pergi kerana tidak tahu bila dapat peluang kedua.

“Segala persiapan mental dan fizikal sudah dilakukan sejak awal lagi termasuk mengikuti beberapa siri kursus haji,” katanya yang ditemui di Kompleks TH, di Sepang, hari ini.

Majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji disempurnakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wafi yang baru menamatkan Diploma Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) berkata, mereka berserah kepada Allah SWT semoga dipermudahkan urusan dan ibadah sepanjang di sana.

“Kami pernah menunaikan ibadah umrah pada 2014, manakala haji adalah kali pertama. Perasaan sedih dan gembira tetap ada kerana kami pergi bertiga tanpa keluarga yang lain.

“Ibu bapa kami mula mendaftar haji pada 2007. Masa itu, saya berusia empat tahun manakala Wais dan Waqi, masing-masing berusia tiga dan satu tahun.

“Hasil kumpul duit raya kami, ayah simpan dalam TH kerana mahu kami pergi ke Tanah Suci bersama-sama suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Wais baru saja menamatkan pengajian Ijazah Kewangan Islam di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) manakala Waqi pula selesai Pusat Tamhidi (Asasi) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 4:07 PM