Muhammad Yusri Muzamir


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan menjadi seperti UMNO, walaupun menerima kemasukan ahli daripada mana-mana parti Melayu lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia kerana penubuhan BERSATU jelas berbeza dengan UMNO, walaupun diasaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Presiden UMNO.

“BERSATU tidak sama dengan UMNO, sebab apa BERSATU ditubuhkan sendiri berbeza daripada UMNO, asas itu sudah lain. Dia (Dr Mahathir) sebagai (bekas) Presiden pun tinggalkan UMNO dan tubuhkan BERSATU.

“Beliau meminta parti politik Melayu lain menyertai BERSATU kerana partinya juga berasaskan kaum berkenaan. Mana-mana parti politik semestinya mahu ahli yang ramai dan ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan kedudukan parti mereka.

“Bagaimanapun, saya rasa PAS dan UMNO sudah memberi indikasi bahawa mereka tidak berminat (dengan pelawaan Dr Mahathir untuk menyertai BERSATU),” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis minum petang Wanita PKR negeri di Tasek Gelugor, hari ini.


WAN Azizah (dua kiri) Ketika Sidang Media Selepas Hadir Majlis Minum Petang Wanita Keadilan Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Semalam, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO untuk menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu, selain menyifatkan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melawat Pertubuhan Hemodialisis Seberang Perai Selatan (SPS), di Simpang Ampat dekat Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pusat hemodialisis yang ditubuh dan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mengikut peraturan ditetapkan, termasuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang doktor pakar nefrologi.

“Ia bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku kerana terdapat pusat hemodialisis tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Dulu memang tidak memerlukan seorang pakar, namun kita ada insiden pusat dialisis tidak mematuhi peraturan. Ada sedikit kekurangan daripada segi perkhidmatan. Sebab itu kita terpaksa mengetatkan peraturan untuk menubuhkan pusat dialisis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:16 PM