BOTOL plastik minuman diisi baja amonia dan diikat dengan sebatang kayu dipercayai digunakan untuk mengebom ikan
Olivia Miwil


SABAH terkenal sebagai antara destinasi menyelam terbaik di dunia, namun terpalit dengan aktiviti pengeboman ikan yang dianggap berleluasa.

Perkara itu diakui beberapa penyelam tempatan yang mendakwa kegiatan itu bukan sahaja berbahaya kepada penyelam, malah turut memusnahkan habitat marin yang unik di dasar laut.

Salah seorang penyelam, Ivan Martin berkata, aktiviti pengeboman ikan kadang-kadang dikesan ketika menyelam bersama rakan di perairan Mari-Mari, Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Telinga kami menjadi tidak selesa apabila berlaku letupan walaupun jaraknya jauh.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesan nelayan (yang meletupkan bom) kerana banyak bot di sana,” katanya.

Pengajar menyelam, Emmanuele Girellie berkata, bunyi letupan bom ikan adalah perkara biasa ketika menyelam di Taman Tunku Abdul Rahman.

“Mana-mana penyelam profesional di taman marin ini dapat merasainya (letupan) kerana bunyinya bergerak pantas dalam air.

“Ia bunyi kuat secara tiba-tiba yang menakutkan sesiapa saja, malah pengajar menyelam. Kalau dekat, kami kadang-kala fikir satu daripada O-ring kami yang meletup sehingga beberapa saat kemudian baru kami sedar ia adalah bom ikan,” katanya.

Katanya, beliau juga beberapa kali melihat pelbagai spesis ikan mati akibat terkena bom di dasar laut.

Di perairan Kota Belud, penyelam Suraidah Roslan berkata, dia terkejut ketika pertama kali mendengar bunyi letupan bom.

“Ada dua atau tiga kali bunyi letupan. Jika ia berlaku dekat lokasi selaman, saya fikir gegendang telinga kita boleh pecah,” katanya.

Pengendali selaman di Kudat, Charles Mawan berkata, pengeboman ikan sering berlaku tahun lalu dengan tiga atau empat letupan kedengaran setiap kali menyelam selama 45 minit.

“Mereka menjatuhkan bom kira-kira empat atau lima kilometer dari kawasan menyelam tetapi gelombang letupan menyebabkan jantung kita berasa tidak selesa.

“Apabila naik ke permukaan, mereka (pengebom ikan) tidak kelihatan berhampiran kita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kejadian letupan bom ikan berkurangan selepas pihaknya membuat laporan mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

Jurugambar bawah air, Joe Starzz berkata, kesan pengeboman ikan sering kedengaran di perairan Pulau Kapalai, Mabul dan Sipadan.

“Apabila ia berlaku, kami hanya meneruskan selaman dan menjelaskannya kepada penyelam lain selepas selesai,” katanya.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali berkata, antara Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya melakukan 30 tangkapan dan merampas barangan bernilai RM100,000 berkaitan pengeboman ikan di negeri ini.

“Di Semporna, sebanyak 43 kes di bawah Akta Perikanan 1985 (Penggunaan Bom Ikan) dan Akta Letupan 1957 direkodkan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 12:36 PM