TINJAUAN kawasan perumahan yang bersebelahan dengan Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, semalam. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN negeri Johor akan merangka Pelan Pembangunan Bandar Pasir Gudang Yang Lestari sebagai langkah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu pencemaran alam sekitar di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, dalam pelan itu, kerajaan negeri akan menghalusi cadangan penempatan semula kilang kimia yang berisiko tinggi serta mewujudkan zon penampan.

“Sebagai usaha langkah jangka masa panjang, kerajaan negeri akan merangka Pelan Pembangunan Bandar Pasir Gudang Yang Lestari. Dalam pelan ini juga, kita akan menghalusi cadangan penempatan semula kilang-kilang haram yang berisiko tinggi.

“Selain itu, kita akan lihat cadangan untuk mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri dengan penempatan penduduk di Pasir Gudang,” katanya ketika sesi Ucapan Penggulungan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.

Beliau yang juga Ahli DUN Bukit Kepong berkata, antara langkah jangka masa panjang lain yang akan diambil kerajaan negeri secara serius dalam mengatasi isu pencemaran di Pasir Gudang termasuk menubuhkan dua jawatan kuasa.

“Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Saintifik akan ditubuhkan untuk menyelaras, mengawasi dan mengesan impak yang bakal berlaku di Pasir Gudang dan jawatan kuasa ini akan memperkasa aktiviti penguatkuasaan kepada kilang-kilang haram.

“Jawatankuasa Pemantauan pula akan ditubuhkan bagi melaporkan status terkini tahap pencemaran di Pasir Gudang.

“Ia akan dianggotai ahli-ahli berhormat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA),” katanya.

Pada masa sama, Dr Sahruddin menegaskan kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh kejadian pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pasir Gudang.

“Dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim, kerajaan negeri memberi peruntukan segera sebanyak RM6.4 juta untuk menjalankan kerja pembersihan sisa toksik di sungai itu.

“Dalam isu pencemaran udara baru-baru ini saya tidak berlengah-lengah dan tidak mengambil pendekatan lepas tangan.

“Saya meminta semua agensi kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu penduduk Pasir Gudang, khususnya kanak-kanak sekolah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 2:41 PM