TINJAUAN kawasan perumahan yang berhampiran dengan Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, semalam. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN negeri Johor akan mengadakan satu sesi bersama penduduk Pasir Gudang atau ‘townhall’ bagi membincangkan isu pencemaran kawasan itu, minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sesi ‘townhall’ itu akan disertainya bersama pelbagai agensi kerajaan bagi membolehkan penduduk mengutarakan pandangan serta kemusykilan masing-masing.

“Isu pencemaran Pasir Gudang memang mendapat perhatian serius kerajaan negeri, namun ada pihak yang cuba mensensasikannya sehingga memberi persepsi serta fakta salah dan jauh menyimpang dari hakikat sebenar.

“Kerajaan negeri akan berkongsi perincian sesi townhall ini termasuk tarikh dan lokasinya minggu hadapan dan semua penduduk Pasir Gudang dijemput hadir,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khuzzan berkata, dua lagi kilang bahan kimia di sekitar Pasir Gudang diberikan perintah tahan operasi serta sebuah premis disyorkan tindakan mahkamah.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah 11 premis industri diberikan perintah tahan operasi sejak insiden gangguan kesihatan berlaku di kawasan itu pada 20 Jun lalu.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 212 premis industri bagi kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ia termasuk kesalahan buangan terjadual sebanyak 108 Kompaun, 10 kompaun efluen perindustrian, 51 notis arahan, 11 perintahbtahan operasi dan satu kompaun kumbahan tangki septik.

“Selain itu tiga kes sudah disyorkan untuk tindakan mahkamah,” katanya menerusi kenyataan media di Johor Bahru, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, tiada pesakit baru dimasukkan ke dalam wad atau mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan (KK) Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai, sehingga 4 petang tadi.

“Seramai 11 orang murid dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Putih dilaporkan mengalami simptom pening, loya dan muntah, namun mereka hanya berehat di bilik rawatan sekolah dan tidak dirujuk ke mana-mana KK atau hospital,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 8:39 PM