Kemalangan maut membabitkan kereta dan lori tangki di persimpangan Jalan Kampung Jawa, Lebuhraya Lim Chong Eu. 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang. FOTO IHSAN PEMBACA
Hadzlihady Hassan


BAHANA melanggar lampu isyarat merah, seorang pemandu dan penumpang kereta maut apabila kenderaan dinaiki merempuh lori tangki di persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Jawa, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi, pemandu kereta, GM Vicknesh, 18, dan penumpang hadapan iaitu seorang wanita, Gan Yong Qi, 21, meninggal dunia serta merta akibat parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dua lagi penumpang belakang kereta iaitu lelaki berusia 16 dan 24 tahun patah kaki dan tangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta Nissan Sentra dipandu mangsa melanggar lampu isyarat merah.

“Kereta berkenaan datang dari arah Batu Maung dan ketika itu sebuah lori tangki dari Georgetown mahu membelok ke Jalan Kampung Jawa.

“Pemandu kereta tidak sempat mengelak dan merempuh lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori berasal dari Bedong, Kedah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Manakala mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 1:13 PM