PEMANDU kereta ditahan selepas dikesan memandu melawan arus dari Tol Bertam menghala ke Sungai Dua, Pulau Pinang. FOTO IHSAN PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI mabuk berusia 56 tahun diberkas polis selepas memandu melawan arus dengan cara berbahaya lebih 21 kilometer di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Butterworth, jam 2.17 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit sebelum itu berhibur di sebuah kelab malam di Georgetown dan mahu pulang ke rumahnya di Bukit Tambun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu lelaki itu bagaimanapun tersalah jalan dan sebaliknya memandu ke arah Bertam.

“Pemandu mabuk ini hanya menyedarinya selepas tiba di tol Bertam sebelum berpatah balik dan memandu songsang menghala ke tol Sungai Dua.

“Tindakan nekad lelaki itu mengundang bahaya kepada pemandu dan penunggang lain sebelum pihak berkuasa lebuh raya menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, kereta itu berjaya dikesan ketika berhenti di lorong Tol Sungai Dua arah utara sebelum anggota menahan pemandu terbabit.

Katanya, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dibawa ke Balai Polis Trafik Kepala Batas untuk tindakan lanjut.

Noorzainy berkata, hasil ujian darah yang dilakukan, pemandu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 45A dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk secara melulu dan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 1:33 PM