Rizanizam Abdul Hamid


“KHEMAH di pusat pemindahan tidak cukup besar membuatkan kami lapan beranak terpaksa bermalam dalam lori tiga tan sejak semalam kerana rumah ditenggelami banjir setinggi 0.6 meter,” kata Zakaria Naim.

Warga emas berusia 60 tahun itu antara 343 keluarga sekitar Kampung Belimbing Dalam, Durian Tinggal, Melaka, yang terjejas akibat banjir berpanjangan melanda daerah ini sejak semalam.

Menurutnya, dia bersama isteri, tiga cucu dan tiga anak tidak mempunyai pilihan sehingga terpaksa bermalam dalam lori milik majikan menantunya apabila rumah mereka di Kampung Belimbing Dalam ditenggelami banjir.

“Tambahan pula, khemah disediakan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam hanya muat untuk empat orang sahaja bagi setiap keluarga.

“Walaupun tidak selesa terpaksa tidur di dalam lori, kami tiada pilihan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, hari ini.

Menurut Zakaria, dia berterima kasih kepada majikan menantunya yang bekerja sebagai pemandu lori kerana membenarkan lori berkenaan dijadikan tempat mereka berteduh.

“Kami menggunakan lori ini untuk bermalam, solat dan menyimpan barangan berharga sementara air surut.

“Saya harap isu masalah banjir yang sudah berlarutan sejak 1970-an dapat segera di atasi kerajaan negeri.

ZAKARIA mengemas barang selepas tidur bersama anaknya dalam lori akibat rumah kediamannya dinaiki air di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. FOTO RASUL AZLI SAMAD

“Kalau boleh, kami mahu cepat berpindah dari tanah rizab kereta api ini dan ditawarkan membeli rumah rakyat bersesuaian dengan pendapatan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali menerusi satu kenyataan, hari ini, mengesahkan mangsa banjir meningkat kepada 1,117 orang setakat jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, pertambahan mangsa menjadikan lapan PPS dibuka iaitu enam di Alor Gajah dan dua di Melaka Tengah.

“Ini menjadikan keseluruhan mangsa terjejas di dua daerah iaitu Melaka Tengah dan Alor Gajah adalah seramai 1,117 orang daripada 250 keluarga di lapan PPS,” katanya,

Dalam pada itu di Alor Gajah, antara kawasan terjejas adalah di Kampung Gadek, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Manakala kawasan terjejas di daerah Melaka Tengah adalah di Taman Tamby Chik Karim, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:03 PM