Muhamaad Razis Ismail


PEMBANTU tadbir kanan wanita sebuah pusat pemulihan akhlak Machang mengaku tidak bersalah terhadap 73 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM94,651 di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh Ayu Adillah Mohamed Ariffin, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 73, tertuduh sebagai pembantu tadbir kewangan didakwa memperdaya Pengarah Politeknik Kota Bharu, Noor Azahan Othman dengan membuat tuntutan palsu bagi pembayaran perubatan bapanya, Mohamed Ariffin Che Awang; suaminya Noraman Mohamad Nordin serta dirinya sendiri dengan nilai RM94,651 pada 2013 hingga 2016.

Tertuduh didakwa membuat resit rawatan dari Kota Bharu Medical Centre (KBMC) palsu di pejabat Politeknik Kota Bharu Kota Bharu pada 2013 hingga 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 terhadap semua tuduhan dengan seorang penjamin selain memohon dokumen perjalanan diserahkan.

Bagaimanapun, peguam Zameri Mat Nawang yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana tertuduh perlu menyara lima anak dan suami yang juga penagih dadah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Difahamkan, tertuduh tidak membayar jaminan berkenaan.

TERTUDUH ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya. FOTO Zaman Huri Isa.
TERTUDUH ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya. FOTO Zaman Huri Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:17 PM