BANGUNAN UMNO di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


“PARTI harus membuat keputusan kerana pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kepada parti bukan individu,” kata bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong mahu tunggu dan lihat sikap PKR serta DAP berikutan pelawaan Perdana Menteri berkenaan.

Beliau mengingatkan semua parti jangan bersikap takabbur dan sombong berkaitan perpaduan Melayu Islam kerana ia penting sama ada kepada parti pembangkang apatah lagi pemerintah.

“Isu penyatuan ummah penting untuk semua pihak, termasuk parti-parti dalam pakatan.

“Jangan angkuh kerana orang sedang memerhatikan kita, bukan sahaja UMNO dan PAS tetapi termasuk pihak yang menawarkan kerjasama antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Jumaat lalu Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Pelawaan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada komponen Pakatan Harapan termasuk yang bersetuju dan menolak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 3:58 PM