FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

PEMBANTU kedai yang mengintai seorang lelaki sedang membuang air besar di dalam tandas sebuah stesen minyak, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Sweepin Sahirati, 28, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dibacakan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang berasal dari Sabah menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didapati berkelakuan aib dengan mengintai mangsa yang juga seorang kerani berusia 27 tahun, pada 2.40 petang, 27 Jun lalu di tandas lelaki sebuah stesen minyak di Jalan PJS 8/9, Sungai Way, Petaling Jaya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memasuki tandas lelaki stesen minyak itu kerana sakit perut, namun ketika sedang membuang air besar, mangsa terlihat bayang-bayang seorang lelaki melalui air takung pada lantai tandas sedang beronani.

Kemudian, pengadu ternampak satu lubang sebesar jari kelingking dan tertuduh sedang memandangnya, sebelum tertuduh mengaku ada mengintainya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukumannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 4:46 PM