MAYAT Baharom yang lemas terjatuh dari botnya ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT Baharom yang lemas terjatuh dari botnya ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris


SEORANG lelaki lemas selepas terjatuh dari botnya di muara sungai dekat Kampung Tanjong Che Mas di Tumpat, dipercayai akibat diserang penyakit sawan, petang hari ini.

Dalam kejadian 6 petang, Baharom Jaafar, 26, sedang menangkap ikan sendirian sebelum terjatuh ke sungai.

Mayat lelaki itu ditemui terapung kira-kira 900 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, kejadian itu disedari penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi sebelum mereka cuba mencari mangsa.

“Bagaimanapun selepas gagal menemui mangsa, mereka menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat pada 6.57 petang tadi sebelum tujuh anggota tiba ke situ lapan minit kemudian.

“Operasi mencari mangsa dimulakan pada radius satu kilometer dan mayatnya ditemui terapung kira-kira 900 meter dari lokasi mangsa jatuh,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi mangsa diserang sawan ketika berada di atas bot yang sedang bergerak perlahan.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 10:47 PM
Digital NSTP Subscribe