KENDERAAN dipandu wanita mabuk yang merempuh pekerja penyelenggaraan jalan raya.
Nurul Hidayah Bahaudin


PEKERJA kontrak maut dilanggar kereta dipandu seorang wanita dipercayai mabuk di Persiaran Perdana, Sri Damansara, Petaling Jaya, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa Saidi Dollah, 52, disahkan mati serta merta di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas dengan memegang lampu baton.

“Ketika mangsa berada di antara lorong kiri dan tengah, dia dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 42 tahun yang berada di lorong tengah.

“Rempuhan ini menyebabkan mangsa disahkan maut di lokasi sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pemeriksaan lanjut terhadap wanita berkenaan mendapati dia memandu dalam keadaan mabuk.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 1:45 PM