Mohd Husni Mohd Noor


“KALAU kita sanggup buat kerja itu, maka orang asing tak (tidak) payah datang pun,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengakui tidak senang hati dengan kebanjiran pekerja asing di negara ini dan mahu tenaga kerja tempatan merebut peluang pekerjaan yang ada, khususnya dalam industri pembinaan.

Katanya, rakyat perlu mempunyai kesanggupan bekerja dalam sektor itu, memandangkan hampir tiada tenaga kerja tempatan dalam pembinaan.

“Sebab itulah, orang asing datang dan dapat kerja di sini (bidang pembinaan). Kita menghadapi masalah yang mana berbilion wang diterima oleh pekerja asing dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam sesi dialog bersama wakil industri sempena Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, yakin sekiranya rakyat Malaysia bekerja dalam sektor pembinaan, pendapatan yang diterima dapat dimanfaatkan ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

Apa yang penting katanya, rakyat tidak memberi peluang pekerjaan kepada pekerja asing dan berusaha memahirkan diri dengan kepakaran tertentu.

“Kalau kita tidak sanggup maka, kita tidak dapat kecekapan (kemahiran) yang diperlukan itu. Sebab itu, pekerja asing datang ke Malaysia dan mereka dapat kerja berkenaan sekali gus mencapai kecekapan yang ditawarkan.

“Setiap bidang dan industri pekerjaan memerlukan kepakaran dan kebolehan banyak ditawarkan menerusi skim TVET dalam kursus tertentu. Soalnya kita sanggup bekerja atau tidak?” katanya.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir memaklumkan, dunia hari ini memperlihatkan kejayaan sesebuah negara bukan sahaja diukur dan

didorong oleh prestasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, syarikat multinasional dan teknologi semata-mata, sebaliknya pembangunan modal insan holistik yang disandarkan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran.

Menurutnya, pembangunan modal insan menjadi nadi dan penggerak pembentukan masyarakat untuk maju, proaktif dan berinovatif seterusnya berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara keseluruhannya.

“Dengan memartabatkan TVET, kerajaan yakin negara mampu menghasilkan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri.

“Malah, TVET mempunyai peranan penting dalam membantu usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.

Beliau menyeru agar lebih ramai pemain industri bersama-sama membangunkan modal insan dan menyokong dasar pelaksanaan TVET negara terutama dalam membantu graduan TVET tempatan dan mengiktiraf kemahiran dimiliki mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 3:07 PM
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.