Sarah Zulkifli


KES penyalahgunaan dadah membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan di pusat hiburan terkemuka Januari lalu, ditetapkan pada 8 Ogos depan untuk pengurusan kes dan tarikh bicara.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan semula kes dihadapi Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Saiful Islam dilihat tenang sepanjang prosiding itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Joseindra Abu Senin memaklumkan mahkamah pihaknya sudah menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol9-carboxylic acid atau THC, yang juga terdapat pada ganja di tandas di pada 2.05 pagi, 5 Januari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan dibawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di bawah Seksyen 38B akta sama selama tiga tahun, jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Nasar Khan.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan berkenaan dan kemudian diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin

Anak ketiga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu bersama seorang lagi rakannya ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu jam 12.30 tengah malam pada 6 Januari lalu di pusat hiburan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 3:56 PM
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2019. Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, keluar dari kamar mahkamah selepas perbicaraan kes positif ganja di salah sebuah kelab malam di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/HAFIZ SOHAIMI