LEE menunjukkan bakakuk yang dipercayai digunakan oleh suspek. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


REMAJA lelaki maut selepas dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh rakannya ketika memburu di hutan Karamatoi, Sook, Keningau, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 8 malam itu, Fitrhiwandi Feritus, 18, maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di leher dan bahu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan datang ke rumah suspek berusia 31 tahun untuk mengajak memburu di hutan Karamatoi kerana menurutnya ketika ini adalah musim payau (rusa) keluar mencari makanan.

“Sebelum kejadian mangsa ada ternampak beberapa payau di kawasan hutan berkenaan dan mengajak suspek keluar memburu.

“Ketika menunggu payau di kawasan hutan berkenaan, suspek terdengar bunyi dan melihat haiwan itu muncul di kawasan semak.

“Suspek terus melepaskan tembakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian mendapati yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah itu adalah rakannya.

“Suspek cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal. Suspek bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada bapanya. Bapa suspek membawanya menemui ketua kampung sebelum memutuskan menyerahkannya ke balai polis,” katanya.

Shahrudin berkata, berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota diketuai Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim dengan dipandu arah oleh suspek ke lokasi kejadian dan menemui mangsa terlentang di tepi sungai.

“Polis menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang disyaki digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat dibawa ke Hospital Keningau dan pemeriksaan luaran mendapati mangsa luka teruk di leher dan bahu,” katanya.

Menurutnya, suspek warga tempatan direman selama tujuh hari sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 4:45 PM