YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Arkib NSTP.
Hairulazim Mahmud


KUASA Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat akan dikembalikan, kata Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, itu antara cadangan pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bakal dibentangkan di Kabinet sebelum sesi Dewan Rakyat akan datang, bermula.

Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan berhubung Akta MKN akan dibincangkan bersama Ahli Parlimen dan masyarakat awam terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke Kabinet.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet bersetuju untuk mengembalikan kuasa mengisytihar darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, namun ada pihak mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya.

“Perlu diingatkan, bahawa kuasa kepada MKN ini adalah untuk menjaga dan memelihara keselamatan, contohnya, bagaimana menangani pencerobohan sempadan oleh tentera asing yang kini berlaku sama ada secara sengaja atau tidak, atau kemasukan gerombolan bersenjata.

“Juga untuk menangani masalah bencana alam besar seperti di Manik Urai (Kelantan) yang perlu pembabitan polis, bomba dan tentera, yang memerlukan bidang kuasa tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus berkenaan di Parlimen, hari ini.

Pada 9 April lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin membentangkan pindaan Akta MKN untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat, yang antara lain memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua rang undang-undang itu yang dijadualkan pada sesi lalu, ditangguhkan ke sesi kali ini dan menurut aturan mesyuarat dan usul dikeluarkan, ia berada pada giliran keempat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen akan memanggil semua pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan.

“Kadang-kadang mereka ada kesukaran mengundang pegawai kanan untuk beri taklimat, atau keterbatasan kuasa Parlimen itu sendiri. Kita akan bincang masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 5:32 PM