Garret Dawum


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melancarkan Operasi Naga di perairan Sabah dan Sarawak sekiranya pencerobohan nelayan warga Vietnam semakin berlarutan di perairan Sarawak.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, 12 bot nelayan asing dari Vietnam sudah ditahan pihaknya setakat ini termasuk empat bot yang baru ditahan Ahad lalu.

“Nelayan Vietnam ini dipercayai mula memasuki perairan Sarawak berikutan kawalan ketat menerusi Operasi Naga yang dilakukan di perairan Pantai Timur membabitkan Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Sekiranya pencerobohan semakin bertambah, Operasi Naga Timur di perairan Sabah dan Sarawak akan dilancarkan,” katanya dalam sidang media berkenaan tangkapan terbaru empat bot nelayan asing di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas di Bako, hari ini.

Dalam tangkapan antara 7.43 pagi hingga 10.27 pagi di kawasan 126 batu nautika timur laut Tanjung Sirik Mukah, 58 orang membabitkan tekong dan awak-awak warga Vietnam ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen pengenalan diri yang sah.

Robert berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun dan anggaran nilai rampasan adalah RM6 juta membabitkan empat bot, 13 tan ikan pelbagai jenis, 17,000 liter diesel danperalatan menangkap ikan.

“Kesemua mereka kini akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Kami mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang dengan laporan boleh disalur menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:25 PM
KUCHING 09 JULAI 2019. Pengarah MARITIM Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan menunjukkan ikan laut yang dirampas daripada nelayan warga Vietnam selepas berjaya ditahan semasa menangkap ikan diperairan Malaysia pada sidang media Maritim Sarawak, di Jeti Kompleks MARITIM Tun Abg Salehuddin (KOMTAS), Muara Tebas. NSTP/HAZREEN MOHAMAD.