ANTARA barangan dirampas ketika serbuan di sebuah bilik hotel di Desa Sri Hartamas. FOTO IHSAN PDRM
Khairul Najib Asarulah Khan


HASRAT dua peragut menjadikan bilik hotel sebagai tempat berkumpul sebelum melakukan jenayah terbantut apabila dicekup dalam satu serbuan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari, polis berjaya menemui pelbagai barangan seperti wang tunai, kad mesin juruwang automatik (ATM), alat penyembur pemedih mata, penutup muka dan lain-lain dipercayai hasil kegiatan ragut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, terdahulu pihaknya melakukan risikan selepas menerima laporan kes ragut membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang sedang menunggu perkhidmatan Grab, Sabtu lalu.

Katanya, hasil risikan, polis menyerbu sebuah bilik hotel yang sudah disewa selama dua hari oleh suspek.

“Hasil serbuan, polis menemui beberapa barangan milik mangsa selain barangan lain dipercayai hasil kegiatan itu.

“Dua lelaki berusia 20-an yang berada dalam bilik hotel berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ruslan berkata, susulan penahanan suspek, pihaknya berjaya mengesan dua lagi rakan mereka yang ketika itu berada di taman perumahan sekitar Cheras.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine. Kita yakin dengan penahan semua suspek berjaya menyelesaikan empat kes lain di sekitar Sentul, Cheras dan Petaling Jaya.

“Pemeriksaan polis mendapati, mereka turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 3:42 PM