Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


“TIADA ibu bapa mahu berkongsi kesusahan dialami kepada anak-anak.

“Mereka tidak mahu anak-anak rasa terbeban apatah lagi masing-masing sudah ada komitmen,” luah Fariq Asrhaf Omar, 27, mengenai ibunya, Wasiah Abd Latif, 48, yang kerap mengalami masalah kereta rosak di jalan raya.

Katanya, Perodua Kembara itu digunakan ibu untuk menghantar mereka lima beradik sejak sekolah lagi.

“Kini kenderaan itu digunakan ibu bagi membeli barangan harian serta ke surau.

“Namun kekerapannya yang rosak membimbangkan saya dan adik beradik lain berikutan semua tinggal jauh manakala ibu dan ayah menetap di Benut, Pontian, Johor.

“Paling memilukan, apabila mak saudara menghantar pesanan WhatsApp Februari lalu memaklumkan setiap kali ibu hendak menghidupkan enjin kereta dia terpaksa menggunakan pemutar skru.

“Sejak itu, saya nekad menghadiahkan ibu kereta baru. Sepanjang hidupnya ibu hanya membeli barangan terpakai seperti telefon bimbit, kereta, barangan elektrik dan lain-lain bagi menjimatkan perbelanjaan,” katanya menetap di Butterworth, Pulau Pinang.

Terdahulu, perkongsian Fariq Asrhaf mengenai kisah itu di Facebook miliknya tular di media sosial dan mendapat pujian netizen yang mendoakan ibu bapa serta dirinya dimurahkan rezeki.

Mengulas lanjut, Fariq Asrhaf berkata, ibunya suri rumah manakala bapanya, Omar Bachok, 53, menjual buku lama dengan pendapatan tidak menentu.

“Pada mulanya saya merancang mahu hadiahkan kereta itu sebelum Aidilfitri lalu namun pinjaman bank tidak lulus atas faktor rekod kewangan.


Wasiah terharu selepas menerima kejutan daripada anak-anaknya. FOTO Ihsan Pembaca

“Perbincangan bersama abang, Farouq Iskandar Omar, 28, untuk berkongsi pinjaman berjaya sebelum Perodua Axia dikeluarkan Sabtu lalu,” katanya.

Katanya, disebabkan tidak dapat pulang ke kampung dia meminta jurujual menghantar kereta ke rumah ibunya dan merakam video situasi terbabit.

“Riak wajah ibu seakan sukar percaya dan menahan sebak. Jika saya ada di sana, pasti sudah peluk ibu.

“Sememangnya, hadiah itu tidak seberapa berbanding pengorbanan dan doa mereka selama ini terhadap anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 4:33 PM