SERAMAI 17 nelayan ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Khas APMM Zon Maritim Kuala Kedah bersama AADK Kota Setar di perairan Kuala Kedah, hari ini. FOTO ihsan APMM.
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 17 nelayan sedang khayal dadah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah dalam operasi khas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar di perairan Kuala Kedah, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang itu disertai 25 orang anggota APMM dan 20 anggota AADK.

Beliau berkata, kawasan operasi meliputi muara hingga perairan Kuala Kedah di bawah kawasan tanggungjawab Zon Maritim Kuala Kedah.

“Operasi ini bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan sekitar kawasan tanggungjawab terutama di Kuala Kedah dan mengelakkan gejala ini terus berleluasa disamping mencegah pelakuan jenayah maritim lain di laut.

“Dalam operasi itu, seramai 17 nelayan tempatan ditahan dan mereka positif dadah jenis methapitamin dan heroin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, semua nelayan yang ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun dan mereka dipercayai melepaskan gian menagih dadah di tengah laut.

Beliau berkata, ketika ditahan semua nelayan terbabit dalam keadaan khayal atau lalok.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak AADK Daerah Kota Setar kerana memberikan kerjasama baik sepanjang operasi berlangsung.

“APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melanggar undang-undang di perairan negara dan kami mengalu-alukan aduan daripada semua pihak.

“Aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:08 PM