PEKERJA sedang membaik pulih kebocoran paip bawah tanah sedalam 1.8 meter di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang dijangka siap sepenuhnya malam ini. FOTO ihsan polis.
PEKERJA sedang membaik pulih kebocoran paip bawah tanah sedalam 1.8 meter di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang dijangka siap sepenuhnya malam ini. FOTO ihsan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat membaik pulih kebocoran paip bawah tanah sedalam 1.8 meter di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan kerja berkenaan dijangka siap sepenuhnya malam ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi hari ini, pihaknya terus melakukan kerja pembaikan.

“Kerja membaiki kebocoran itu masih dilakukan ketika ini dan dijangka siap pada malam ini.

“Pembaikan dijalankan segera bagi mengelak kerosakan jalan raya di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, laman sosial Facebook Trafik KL JSPT KL hari ini memberitahu kejadian itu menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan terbabit pagi ini.

Antara laluan terjejas teruk adalah Lebuh Raya Mahameru ke Jalan Tun Razak, dari arah Genting Klang ke Bulatan Pahang, dari arah Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan dari arah Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) ke Jalan Tun Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:53 PM