Nurul Erwani bersama Ainul. FOTO Ihsan Instagram Nurul Erwani
Iskandar Shah Mohamed


“SAYA mohon semua sabar, bertenang dan sentiasa selitkan doa baik-baik untuk kami kerana apa yang kita doa akan berbalik pada kita sendiri.

“Saya juga minta pada Allah SWT supaya apa yang berlaku ketika ini memberi sinar bahagia kepada kami sekeluarga pada waktu mendatang,” kata Nurul Erwani Zaidi, 24, ibu Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi perempuan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.

Menerusi status terkini yang dimuat naik di laman Instagramnya malam ini, Nurul Erwani berkata, membawa Ainul menerima rawatan di London adalah keputusan terbaik bagi memastikan bayinya itu sihat.

“Memang betul, Ainul sepatutnya dibenarkan pulang ke Malaysia pada Isnin (9.30 malam waktu London) dan dijangka sampai Selasa (5.30 petang waktu Malaysia).

“Segala persiapan sudah dilakukan dan doktor benarkan Ainul pulang. Doktor juga sudah check (periksa) keadaan Ainul pada Jumaat dan Ainul sangat baik.

“Siapa sangka, perancangan Allah Maha Hebat. Kami tak dapat pulang atas faktor kesihatan Ainul tidak mengizinkan untuk berada dalam kapal terbang.

“Ainul demam dan batuk pada pagi Isnin, hari kepulangan kami ke Malaysia.

“Ada hikmah semua ini berlaku. Allah tahu apa yang terbaik untuk kami,” katanya.

Nurul Erwani berkata, siapa tidak sedih apabila anak yang dikandung dalam perut menghadapi pelbagai ujian.

“Tapi kesedihan itu semua tidak akan patahkan semangat bila kita dapat tengok anak kita setiap masa, dapat spend time (meluangkan masa) bersama setiap hari,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada semua yang memberi semangat selain mendoakan dan memberi pertolongan kepada keluarganya.

“Saya amat hargai dan harap Tuhan membalas semua kebaikan ini serta memudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

“Bercakaplah perkara yang baik kerana percakapan kita adalah doa. Salam sayang daripada saya dan Ainul Mardhiah,” katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan keluarga Ainul Mardhiah terpaksa membatalkan rancangan pulang ke tanah air semalam berikutan bayi perempuan itu tidak sihat.

Berdasarkan status Facebook yang dimuat naik bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 22, kelmarin, dia dan Nurul Erwani membuat persiapan rapi bagi memastikan Ainul sembuh dan kuat berikutan bayi sulungnya itu pernah mendapat jangkitan selepas mengharungi penerbangan panjang selama 13 jam.

Ainul Mardhiah yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di sebuah Hospital Kanak-kanak di UK 10 Jun lalu, terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu, berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:02 PM