ANGGOTA APMM memeriksa bot nelayan asing yang ditahan di Jeti APMM Kemaman di Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA APMM memeriksa bot nelayan asing yang ditahan di Jeti APMM Kemaman di Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.


MENGGUNAKAN nombor pendaftaran bot nelayan Kelantan dan Pahang. Itu taktik tiga bot nelayan Vietnam bagi mengaburi pihak berkuasa ketika merompak hasil laut negara.

Bagaimanapun, taktik mereka itu tidak bertahan lama selepas ketiga-tiga bot terbabit ditahan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, tiga bot bersama 34 nelayan asing itu ditahan dalam Op Iman yang dilancarkan sekitar perairan Terengganu.

Beliau berkata, ketiga-tiga bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran KNF 7702 , PAF 4578 dan PAF 4091 ditahan sekitar kawasan 73 hingga 104 batu nautika kawasan timur laut Kuala Kemaman, bermula 11. 35 pagi hingga 6 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 32 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur antara 16 hingga 59 tahun.

“Dua lagi yang ditahan adalah nelayan warga Thailand berusia 38 dan 47 tahun,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kemaman, di Chukai, semalam.

Rashidilhadi berkata, siasatan mendapati semua bot itu memiliki 2.5 tan ikan pelbagai jenis serta satu tan ikan baja.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah tangkapan itu, nelayan asing terbabit dipercayai menceroboh perairan negara sejak seminggu lalu.

“Semua hasil tangkapan, bot, diesel sebanyak 1,250 liter serta peralatan menangkap ikan bernilai RM3 juta dirampas dan dibawa ke jeti di Kemaman petang semalam.

“Kami percaya ketiga-tiga bot ini menggunakan nombor pendaftaran tempatan dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka mengemukakan dokumen pendaftaran bot palsu dan tamat tempoh. Kami percaya ada nelayan kita (tempatan) yang terbabit dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, semua nelayan terbabit disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

Menurutnya, pihaknya akan terus melipatgandakan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:54 PM