SIMPANG tiga Kampung Sungai Bunyi Batu 35, Pontian antara laluan yang kerap berlaku kemalangan.
Togi Marzuki


PONTIAN: Lebih 5,000 pengguna jalan Johor Bahru - Pontian berhampiran Kampung Sungai Batu 35 di sini, merayu pihak berkuasa memasang lampu isyarat di lokasi itu susulan kekerapan kes kemalangan.

Ketua Kampung Kawasan 6 Mukim Rimba Terjun, Zam Zam Hashim berkata, ketiadaan lampu isyarat di simpang itu menyebabkan kemalangan sering berlaku saban minggu.

Katanya, simpang itu adalah laluan pengguna dari semua arah ke Johor Bahru dari Pontian termasuk pelajar sekolah yang ingin masuk ke kawasan kampung berkenaan.

“Mungkin kebanyakan kemalangan disebabkan kecuaian pengguna sendiri, namun ketiadaan lampu isyarat di kawasan itu turut menjadi punca berikutan pengguna tidak sabar untuk keluar simpang.

“Boleh dikatakan setiap minggu ada saja kemalangan dicatatkan termasuk kemalangan maut,” katanya.

Menurutnya, sebagai ketua kampung yang baru dilantik dia belum pernah membuat sebarang pemohonan namun berharap pihak berwajib mengatasi masalah itu demi keselamatan pengguna.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu kemalangan di persimpangan itu sering berlaku kerana jumlah pengguna bertambah dan sudah tiba masanya pihak berkuasa memasang lampu isyarat di kawasan itu.

“Jalan itu boleh menghubungkan penduduk dengan pelbagai kampung serta Johor Bahru dan pekan Pontian.

“Ia bukan sahaja digunakan orang ramai untuk ke tempat kerja malah murid berhampiran. Berikutan itu, kami merayu pihak berkuasa memasang lampu isyarat di simpang berkenaan bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku,” katanya.

Difahamkan kira-kira jam 9.50 pagi 4 Julai lalu, berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang itu namun tiada kemalangan maut dilaporkan.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila sebuah kereta dari Pontian mahu memasuki simpang berkenaan namun bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta itu berpusing sebelum melanggar kereta dari arah sama (Pontian) menyebabkan dua pemandu wanita dan pemandu lori lelaki cedera serta mendapatkan rawatan di Hospital Pontian.

Sementara itu, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian, Mohd Zafuan Arif Kadim, ketika dihubungi berkata, pihaknya sedar masalah pengguna hadapi di simpang tiga di dua lokasi iaitu simpang tiga di Kampung Sungai Bunyi Batu 35 Jalan Pontian - Johor Bahru dan simpang tiga di Kampung Parit Selangor jalan sama.

Menurutnya, kedua-dua simpang itu adalah lokasi paling bahaya kepada semua pengguna jalan di daerah itu dan mencatat jumlah kemalangan tinggi.

“Selain itu, dua simpang tiga berkenaan dikenal pasti sebagai laluan utama penduduk kampung terutama pelajar sekolah ke arah Pontian dan Johor Bahru.

“Untuk simpang tiga di Kampung Parit Selangor, kami kini berusaha memohon peruntukan untuk memasang lampu isyarat bagi mengelak kemalangan terus berlaku di kawasan itu.

“Bagaimanapun, buat masa ini pemasangan lampu isyarat di simpang tiga Kampung Sungai Bunyi Batu 35 tidak dapat dilaksanakan kerana kajian aliran trafik mendapati jumlah pengguna tidak terlalu tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:30 AM