Skip this ad x
SHAHARUDDIN (tiga dari kanan) bersama Ismasuhaimi (empat dari kanan) menunjukkan nombor siri KET yang dibuka untuk dibida melalui JPJeBid.
Aizat Sharif


ALOR SETAR: Kedah menjadi negeri pertama di luar Lembah Klang yang melaksanakan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian atau JPJeBid menerusi bidaan siri KET yang akan bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, Kedah adalah lokasi ketiga pelaksanaan sistem berkenaan selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Ini kali pertama sistem dilaksanakan di luar Lembah Klang menerusi pengenalan bidaan siri KET yang akan dibuka selama lima hari bermula 12 tengah malam esok (hari ini) sehingga 11.59 malam 15 Julai.

“JPJeBid juga akan menjadi perintis bagi bidaan nombor plat kenderaan dalam talian yang mana segala permohonan tidak lagi dilakukan di kaunter atau pejabat JPJ negeri.

“Malah, segala proses bidaan, bayaran dan ketetapan aplikasi serta akaun akan dilakukan secara telus dilunaskan menggunakan sama ada kad debit atau kredit,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi.

Katanya, pelaksanaan JPJeBid juga akan dilakukan secara berperingkat di negeri lain selepas ini.

“Selepas Kedah, kita menjangkakan akan meneruskan pelaksanaan sistem ini di Sabah, Pulau Pinang dan Johor.

“Bermula pada tahun hadapan, semua proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi setiap siri mengikut negeri masing-masing akan dilaksanakan sepenuhnya menggunakan sistem JPJeBid,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan kajian harga yang sudah dijalankan sejak awal tahun ini, harga minimum tempahan bagi empat kategori yang disediakan kepada orang ramai juga diselaraskan.

“Bagi kategori Nombor Bernilai Utama (Golden Numbers) ia berharga RM20,000, manakala bagi kategori Nombor Menarik (Attractive Numbers) bernilai RM3,000.

“Selain itu, RM800 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri itu yang membabitkan kategori Nombor Popular (Popular Numbers) dan RM300 bagi Nombor Biasa (Running Numbers),” katanya.

Shaharuddin berkata, orang ramai boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran wajib Fi Perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida pada satu masa.

“Tiada sekatan untuk melakukan bidaan, namun setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala syarikat atau firma perniagaan hanya boleh memenangi tidak lebih daripada lima nombor kenderaan.

“JPJeBid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

“Pembida boleh mengetahui kedudukan secara terkini (realtime) serta tiada unsur campur tangan manusia walaupun urusan berkenaan dipantau oleh kami,” katanya.

Beliau berkata, sistem JPJeBid dimulakan dengan pengenalan siri FC di Putrajaya diikuti siri VDN di Kuala Lumpur.

Orang ramai yang berminat membida siri KET boleh mengakses JPJeBid secara dalam talian menggunakan aplikasi JPJeBid atau portal https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:30 AM